SENILUKIS DAN REALITI

Terlalu banyak cabang seni yang ada di Malaysia diantaranya adalah seni persembahan dan seni tampak yang begitu aktif dan diceburi oleh penggiatnya.Rata-rata ada yang menceburinya samaada kerana minat maupun untuk dijadikan profesyen mereka. Yang begitu mendapat perhatian antara dua cabang seni ini adalah seni persembahan,yang mana ianya bolehlah dibahagikan dan  diklasifikasikan kepada berikut:-

1) Nyanyian 2) Perfileman 3) Muzik  4) Drama

5) Teater     6) Tarian       7) Wayang Kulit 

8) dan beberapa lagi seni persembahan yang lain

Nyanyian dan perfileman begitu mendapat perhatian dan sokongan samaada dari masyarat maupun Kerajaan. Bagi mereka penggiat seni ini begitu hampir kepada hati mereka. Ada yang menganggap artis-artis ini sebagai idola mereka dan setiap tingkah laku,gaya hidup dan imej  artis-artis tersebut menjadi ikutan. Kalau dikira dari segi sumbangan nyanyian dan perfileman kepada pendapatan negara bolehlah dianggap terlalu kecil akan tetapi mengapa bidang ini mendapat liputan dan perhatian yang lebih jika dibandingkan dengan seni lukis. Apa yang pasti bidang ini hanya sebagai halwa telinga dan mata dan tidak ada kesannya atau sumbangan positif terhadap kehidupan masyarakat amnya. Dipihak Kerajaan pula sekiranya ada aktiviti-aktiviti yang ingin dijalankan sebagai penyeri perayaan atau acara sudah pasti bidang seni persembahanlah akan ditampilkan sebagai wadah hiburan. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah melancarkan satu aktiviti seni yang dinamakan Program Merakyatkan Seni.

Program Merakyatkan Seni( PMS )  ialah suatu usaha bersekutu jabatan-jabatan di bawah KPKK mengenengahkan produk senibudaya dan warisan kepada khalayak, terutama di kawasan-kawasan luar bandar. Dalam program PMS muzik, sketsa, tarian, nyanyian, sajak, syarahan dan pelbagai ciri pementasan khas dihidangkan kepada khalayak dengan matlamat memperkenal, membimbing, meminati dan mengekalkan intisari dan daya tarikan seni di dalam kehidupan rakyat.

Matlamat PMS adalah memperkenal, mengasuh, membimbing dan mengekalkan intisari senibudaya dan warisan di dalam kehidupan rakyat melalui naluri kemanusiaan.Disini dapat dilihat dengan jelas bahawa seni lukis tidak dimasukkan sebagai salah satu produk seni dan dipromosikan kepada masyarakat. Ianya seolah-olah dianaktirikan dan dilupakan sebagai salah satu cabang seni. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Adakah bagi pihak kementerian berpendapat bahawa seni lukis tidak wajar di ketengahkan disebabkan tiada munafaat dan faedahnya pada masyarakat Malaysia.Biarpun jutaan ringgit diperuntukkan kepada bidang nyanyian dan perfileman akan tetapi perkembangannya masih ditakuk lama. Ia sekadar memenuhi kehendak tempatan dan dipersada antarabangsa ianya tiada mendapat perhatian serta tiada memberi sumbangan langsung. Jadi kenapa pihak berwajib masih mahu mempromosikan bidang ini sedangkan mereka tau tahap dan kualiti persembahan adalah terlalu jauh jika mau bersaing diarena antarabangsa.

Seni lukis telah lama menyumbangkan pendapatan kepada negara. Karya-karya lukisan pelukis tempatan mendapat tempat dan perhatian dihati peminat-peminat seni lukis antarabangsa. Banyak karya-karya pelukis tempatan telah menjadi koleksi mereka. Ada segelintir pelukis tempatan telah mencipta nama dipersada seni lukis antarabangsa jika dibandingkan di persada tempatan. Meraka lebih mendapat liputan dan sokongan dari media massa luar negara.Kebanyakkan pelukis terpaksa menguruskan hal mereka sendiri tanpa mendapat bantuan dari mana-mana pihak. Atas daya usaha dan inisiatif mereka sendiri,mereka mampu menonjolkan diri mereka bersaing bersama-sama dengan pelukis-pelukis antarabangsa yang lain. Balai Seni Lukis Negara yang ditubuhkan untuk menjaga hal ehwal seni lukis tempatan tidak memainkan peranannya yang sebenar. Dengan belanjawan yang diterima dari Kementerian dalam jumlah yang kecil sudah pasti membantutkan aktiviti-aktiviti seni lukis tempatan. Mereka dari satu sudut yang lain lebih memberi tumpuan dan keutamaan untuk mempromosikan pelukis tempatan yang telah mencipta nama dan juga menengahkan pelukis-pelukis dari negara luar. Kecenderungan kearah mengadakan aktiviti-aktiviti seni lukis yang kurang memberi kesan dan impak kepada masyarakat seharusnya dihentikan dan diganti dengan yang lebih berfaedah serta dijalankan secara telus dan dedikasi.Banyak dana digunakan tanpa memberi sebarang munafaat dari segi perkembangan seni lukis tempatan. Oleh demikian bagi pelukis-pelukis baru peluang untuk terus maju dan mendapat sokongan kewangan dari BSLN tidak akan kesampaian disebabkan ketiadaan dana yang mencukupi.

Masyarakat Malaysia secara amnya adalah buta seni lukis. Tiada pendedahan dan pendekatan yang dilaksanakan untuk mengatasi perkara ini. Kefahaman mengenai seni lukis juga amat mendukacitakan. Jadi tidak hairanlah jika bidang ini tidak mendapat sambutan dan perhatian.  Bagi masyarakat mereka beranggapan bahawa karya seni lukis hanya boleh di miliki dan di beli oleh golongan yang mempunyai kemampuan kewangan dan faham akan seni itu. Inilah satu jurang yang terjadi dan seni lukis akan terus dihimpit kesepian. Seharusnya pihak berwajib peka akan hal ini dan telah pun menjalankan satu pendekatan untuk menjadikan seni lukis bidang seni yang mengkagumkan dan berdaya maju.Bidang seni lukis di Malaysia masih ditakuk lama dan tiada perkembangan yang positif mampu dilihat. Kalau ada pun aktiviti-aktiviti atau langkah yang diambil hanyalah sekadar untuk mengadakannya dan bukan satu usaha yang berterusan untuk memperkembangkan bidang ini. Disinilah golongan pelukis berada didalam dilema kerana segala-galanya mereka kena lakukan bersendirian tanpa sokongan dari mana-mana pihak. Jika ada pun bantuan itu hanya diberikan kepada pelukis yang kononnya telah ‘mempunyai nama’ dan ada ‘kredibiliti’. Pelukis yang baru dan mula mahu bertapak akan terus terpinggir dan diketepikan.

 

Tibalah masanya bagi golongan pelukis untuk memikirkan masa depan dan hala tuju seni mereka. Mereka perlu bergerak dalam kumpulan dan ini akan memudahkan segala urusan. Kemajuan dan perkembangan seni lukis tempatan terletak dibahu mereka. Merekalah sebenarnya yang lebih arif dengan apa yang perlu dilakukan dan dilaksanakan. Masyarakat Malaysia perlu celik seni lukis.

 

 

Advertisements

MINDSKETCH 33 : Sketsa

ANTARA SKETSA YANG DIHASILKAN : EKSPRESI MINDA

….dihasilkan dengan menggunakan pen Artline pada 13hb April 2010 Ini merupakan lakaran satu garisan.

WARNA DALAM KEHIDUPAN

Warna merupakan sesuatu yang begitu sinonim dan akrab dengan kehidupan kita. Kita mengenali apa jua kejadian secara fizikalnya diatas muka bumi melalui warna. Warnalah yang memberi kita gambaran atas sesuatu. Dengan warna jua kita mentafsir akan sesuatu yang dijadikan. Apabila celik saja kita dari tidur kita akan dilihatkan dengan segala macam kejadian dan bentuknya melalui warna yang ada. Daun-daun dan tumbuhan berwarna hijau,langit berwarna biru,awan berwarna putih,tanah berwarna coklat dan keperang-perangan serta juga air laut yang berwarna biru kehijau-hijauan. Api yang gunanya untuk memasak makanan kita didapur berwarna merah,matahari berwarna kekuningan juga buah yang masak ranum samaada berwarna kuning maupun merah. Manggis berwarna hitam apabila masak tetapi hijau tatkala muda begitu juga jambu susu yang berwarna putih. Kenapa begitu kejadian warnanya? Adakah warna setiap kejadian ini ada maksud yang tersirat? Sudah pasti sesuatu yang terjadi ini ada sebab disebalik keadaan dan rupa bentuknya.

Jika ditakdirkanlah segala kejadian yang ada diatas muka bumi ini hanya mempunyai satu warna dapatkah kita mengetahui,mengenali dan mentafsir akan ujudnya? Mampukah mata kita menerima hanya satu warna bagi segala kejadian? Cuba bayangkan pabila terbuka sahaja mata kita hanya gelap yang kita nampak. Kita tidak dapat membezakan apa jua kejadian. Segala-galanya pada kita tiada kelihatan.Sedangkan dengan keadaan alam yang begitu gelap dari pandangan kita menjadian kita bercelaru inikan pula jika satu warna sahaja bagi setiap kejadian. Mata kita dicipta untuk menerima kejadian warna yang terang dan menyenangkan hati dan perasaan kita. Mata kita tidak mampu bertahan dengan keadaan yang gelap. Kita seolah-olah hilang panduan dan arah.Dapatkah kita menerima hakikat kejadian jika dibandingkan sebelum ini kita dapat melihat pelbagai bentuk kejadian dan warna sedangkan ketika ini hanya satu warna sahaja yang mampu kita lihat? Warna ada kekuatan yang tersendiri dan dengan warnalah kita dapat membezakan antara satu kejadian dengan kejadian yang lain. Dengan pancaindera mata kita mampu dan dapat melihat kejadian diatas muka bumi ini dengan seribu rahmat dan nikmat.

Persoalan yang mungkin timbul jika sayur-sayuran yang kini berwarna hijau ditukarkan kewarna hitam. Buah-buahan yang muda berwarna hijau pabila masak ranum berwarna kuning,merah,hitam serta putih ditukar menjadi biru muda. Tanah yang berwarna perang atau coklat ditukar berwarna hijau. Langit yang berwarna biru ditukar dengan warna coklat samaada siang atau malam. Air yang kita minum berwarna keemasan juga api yang memanaskan masakan kita berwarna hitam. Mampukah kita menikmati kehidupan ini seperti kita alami sekarang jika kita menerima pertukaran warna dalam kejadian yang dinyatakan tadi? Yang mungkin menjadi persoalan besarnya adalah sanggupkah mata kita menerima keadaan ini?  Nasi dan susu yang pada kebiasaannya berwarna putih bertukar menjadi hitam atau merah. Tertelankah kita makanan ini jika begitu warnanya? Segala-gala kejadian yang dicipta dengan warna yang tersendiri ada rahsianya pada Yang Maha Esa sesuai dengan kehendak dan naluri manusia yang menggunakannya. Sepatutnya kita bersyukur dengan apa jua yang kita nikmati tanpa sebarang rasa gundah dan  kesal. Sesuatu yang terjadi ada kegunaannya kepada kita sebagai hambaNya dimuka bumi ini. Warna juga memberi corak kepada kehidupan kita. Justeru itu setiap kejadian mempunyai warna yang tersendiri dan mengandungi rahsia kejadiannya Kita diberi akal untuk berfikir dengan warasnya maka ketahuilah rahsia ini agar kehidupan kita lebih bermakna bagi mereka yang mahu memahaminya.

 

LAKARAN KEHIDUPAN

Lukisan merupakan satu rakaman tampak yang dinyatakan,ditonjol,digarap atau diolah diatas media untuk memberi pandangan dan persepsi pelukis terhadap apa yang dilihat,dialami dan diandaikan. Pada kebiasaannya pelukis mengambil subjek matter tertentu untuk diceritakan dalam karya lukisannya.Fokusnya adakala bergantung jalan cerita atau mesej yang akan diketengahkan. Kekuatan sesuatu karya lukisan seseorang pelukis terletak kepada bagaimana dia memahami cerita atau mesej yang ingin disampaikan disamping penggunaan warna dan kehalusan hasil kerja yangdibuat.Kesungguhan dalam penghasilan sesebuah karya lukisan adalah amat penting dan perlu agar ianya dapat diterima dan memberi kepuasan kepada yang melihatnya.

Seseorang pelukis akan cuba melakukan yang terbaik untuk menghasilkan karya lukisannya.Pengamatan dan kecenderungan pelukis terhadap subjek matter karyanya adalah sesuatu yang memberi kesan dan impak sekiranya beliau menitikberatkan aspek-aspek yang mampu memberi kekuatan karyanya. Penyelidikan dan kefahaman terhadap subjek matter adalah keutamaan didalam penghasilan karya tersebut. Dengan adanya penyelidikan dan kefahaman maka karya yang dihasilkan akan memberi kepuasan samada kepada pelukis juga kepada yang melihatnya. Ini kerana setiap faktor dalam penghasilan karya tersebut dibuat dengan terperinci dan mempunyai garis panduan.

Lukisan juga adalah satu rakaman mengenai kehidupan dan disampaikan kepada orang ramai dalam berbagai cara dan umumnya adalah sesuatu yang tampak dan jelas.Pelbagai persepsi boleh diandaikan terhadap sesuatu karya lukisan yang dihasilkan. Karya yang baik dapat memberi impak kepada yang melihatnya. Apa jua corak kehidupan mampu direkodkan dan dirakamkan melalui lukisan. Ia suatu penonjolan tampak yang menggunakan warna dan media. Bagaimana ia dihasilkan bergantung kepada seseorang pelukis itu.

Sesebuah karya lukisan mampu menyentuh perasaan dan pengamatan kepada mereka yang melihatnya samaada ia memberi tanggapan positif maupun sebaliknya. Lukisan yang dapat memberi reaksi atau kesan terhadap yang melihatnya adalah karya lukisan yang ada kekuatan tersendiri. Tidak kira ia akan menjadi pilihan atau koleksi pembeli tetapi yang utamanya ia dapat memberi impak kepada yang melihatnya. Setiap lukisan yang dihasilkan ada mempunyai sinonim atau kesamaan dalam kehidupan setiap manusia. Oleh itu tidak hairanlah kenapa sesebuah karya lukisan itu dibeli dan miliki oleh individu tertentu. Ini adalah kerana pada lumrahnya mesej lukisan tersebut mempunyai pengertian dalam kehidupan yang membeli dan memilikinya. Setiap peminat seni lukis atau kolektor mempunyai kefahaman dan minat tertentu terhadap karya yang dibeli. Mereka tidak akan memiliki sesebuah karya lukisan itu jika ianya tiada kaitan dalam kehidupannya. Adakala karya lukisan yang dibeli disebabkan oleh minat dan keinginan yang memilikinya.

 

KARYA BERSIRI

Setiap pelukis mempunyai citarasa dan pandangan yang berbeza-beza mengenai perihal subjek atau motif yang ingin dipertengahkan. Selalunya bergantung kepada mesej dan jalan cerita yang ingin disampaikan kepada umum. Ada segelintir dari mereka memilih untuk mempelbagaikan karya yang ingin dihasilkan samaada perihal subjek atau motif serta juga jalan cerita dan mesej yang berlainan. Tiada rentetan dan kesinambungan antara satu karya dengan yang lain. Ini bagi memudahkan mereka untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada penghasilan sesuatu karya lukisan. Tema dan tajuk lukisan juga tidak sama dan sinonim. Jadi tidak hairanlah pelukis sedemikian mempunyai bermacam-macam penceritaan dalam karya mereka dan adakala jelas kelihatan dengan begitu ketara perbezaannya karya-karya lukisan tersebut. 

Lain pula kisahnya bagi pelukis yang gemar menghasilkan karya lukisan dalam bentuk bersiri. Pada pandangan mereka cara dan kaedah yang digunapakai lebih memudahkan orang ramai serta peminat senilukis untuk memahami mesej dan jalan cerita karya lukisannya. Bagi orang ramai dan peminat senilukis pula mereka lebih cenderung untuk memiliki karya lukisan yang mempunyai rentetan penceritaan serta kesinambungan apatah lagi sekiranya keseluruhan mesej dan perihal subjek karya itu ada kena mengena dengan kehidupan mereka. Sesebuah karya lukisan yang senang di ertikan maksud dan bersiri penghasilannya akan menjadi pilihan kepada peminatnya.

Dalam menghasilkan karya bersiri seseorang pelukis perlu peka kepada keadaan semasa dan minat pembeli. Jangan sesekali bagi seorang pelukis mengadakan lukisan yang diluarkan jangkauan minda dan kefahaman mereka biarkan dibuat secara bersiri. Jalan cerita yang ingin disampaikan akan menjadi celaru dan lemah disebabkan pelukis itu sendiri tiada mengetahui secara mendalam akan mesej lukisan itu. Kesedaran dan ketelitian terperinci akan sesuatu perihal subjek atau motif juga perlu kerana ini akan menjadi satu penanda aras bagi menentukan kekuatan karya yang dihasilkan apa lagi jika ia bersiri. Kelemahan dalam hal ini ada kaitan terhadap  kurangnya penerimaan orang ramai atau peminat seni lukis akan karya tersebut serta menjejaskan pemasaran dan jualan.

Kenapa perlu bersiri?

1. Terdapatnya pengikut setia

 2. Memudahkan pemasaran dan jualan

 3. Lebih penerimaan dan kefahaman

4. Menonjolkan identiti pelukis

5. Satu penjenamaan dan ‘ trademark ‘

6. Impak dan keberkesanan jalan cerita

Pada kesimpulannya karya lukisan yang dihasilkan secara bersiri mempunyai banyak kelebihan dari lukisan yang pelbagai jalan cerita atau tidak bersiri. Secara umumnya lukisan yang bersiri mendapat sambutan yang lebih dari pasaran terutama bagi golongan yang benar-benar mengetahui dan memahami senilukis. 

 

MINDSKETCH 32 : Sketsa

ANTARA SKETSA YANG DIHASILKAN : EKSPRESI MINDA

Ini adalah sketsa satu garisan yang dilakarkan diatas kertas dengan menggunakan pen artline. Dihasilkan melalui ilham yang mendatang secaraspontan. Setiap satu mempunyai kelainan tetapi masih bermotifkan hutanrimba. Ia sekadar catatan untuk memudahkan penghasilan karya yang terbaru. Setidak-tidaknya dengan ada lakaran ini akan mempercepatkan proses penyediaan karya lukisan dan ia amat bermunafaat.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sketsa juga adalah pencerna minda dan akan disampaikan maksud sepenuhnya apabila sesebuah karya lukisan dihasilkan. Walaupun ia sebagai panduan kepada seseorang pelukis akan tetapi membawa pelbagai maksud yang tersirat dan tersurat. Biarpun dengan hanya satu lakaran seseorang pelukis mampu menghasilkan pelbagai karya lukisan yang berlainan. Ini juga merupakan salah satu kekuatan sketsa selain sebagai penterjemahan idea yang mendatang secara spontan.

RAGAM PELUKIS

Pelukis adalah manusia ‘terpilih’ yang diberikan kelebihan untuk mencatatkan kejadian atau peristiwa melalui penyampaian mereka diatas media catan. Semua manusia boleh melukis akan tetapi dapatkah lukisan yang mereka hasilkan mampu memuaskan hati serta mendapat perhatian dari orang lain? Inilah yang membezakan orang ramai dengan seorang pelukis. Kebiasaannya seorang pelukis itu mempunyai sensitivi terhadap kehidupan dan persekitaran. Jiwa mereka halus dan amat tersentuh. Maka tidak hairanlah ada segelintir pelukis yang bersikap pendiam,ego dan ‘sombong’. Rata-rata pelukis yang peka kepada dunia selukis dan pasaran mengikis sikap ini dan mereka lebih terbuka,ramah dan senang didekati. Ini adalah perlu bagi mereka kerana mereka menganggap diri mereka bukan hanya semata-mata seorang pelukis malah adalah juga seorang peniaga.

Disebabkan pelukis adalah seorang manusia maka tidak hairanlah jika terdapat ada diantara mereka yang mempunyai hati yang gelap,irihati,dengki dan khianat. Mereka ini lebih mementingkan diri semata-mata tanpa memikirkan kesan akan mereka terima disebabkan bersikap begitu. Mereka gemar menjatuhkan kredibiliti rakan pelukis sendiri dan cuba mengambil kesempatan demi untuk kepentingan peribadi. Ada juga pelukis yang suka menyendiri dan mengasingkan diri mereka dari masyarakat. Bagi mereka hasil karya lukisan mereka adalah semata-matanya dan bukan diri mereka. Kita selalu diperagakan dengan karya lukisan seseorang pelukis akan tetapi tidak mengenali mereka. Pelukis yang selalu mempromosikan diri mereka mampu dikenali ramai dan mendatangkan kesan terhadap pemasaran karya mereka.

Dimasa kini terdapat beberapa  cara bagaimana seseorang pelukis memasarkan hasil karya lukisan mereka. Antaranya:-

        1. Pameran-

           a) Diadakan samaada berkumpulan atau solo

                dan diuruskan oleh orang lain serta juga ada yang

                diuruskan oleh mereka sendiri.

                Ini pada kebiasaanya dilakukan samaada digaleri

                lukisan maupun diruang pameran bangunan dan

                jangkamasa adalah singkat

           b) Diperagakan diruang-ruang pusat perniagaan dan 

                juga pejabat-pejabat. Juga diadakan samada 

                secara berkumpulan atau solo. Jangkamasa 

                pameran agak panjang dari kebiasaan.

 

     2.  Jualan terus-

           a) Dijual diruang perniagaan yang diuruskan dan

                kendalikan oleh pelukis tersebut

           b) Dipasarkan melalui internet samaada dilaman

                sawang atau blog.

 

     3.  Risalah,katalog dan brosur-

               Selain itu ada segelintir pelukis yang mengedarkan

               risalah,katalog dan brosur sebagai salah satu

               kaedah pemasaran. Ini adalah salah satu cara

               pemasaran yang murah dan mudah diketahui

               awam

     4.   Wawancara dan temubual dengan wartawan atau

           penulis seni dimedia cetak maupun media elektronik.

           Penampilan pelukis dengan kaedah ini mampu

           mendekatkan mereka kepada masyarakat serta

           memberi ruang kepada masyarakat mengenali

           mereka dan apa yang mereka lakukan.

 

     5.   Penerbitan buku mengenai pelukis dan hasil karyanya

           serta jurnal mengenai perjalanan seni mereka.

           Kaedah ini pada kebiasaannya digunakan oleh

           mereka yang telah berjaya dalam dunia senilukis

           yang diceburi serta telah mencapai satu kedudukan

           dipersada senilukis tempatan maupun antarabangsa.

 

Pelukis sama juga dengan penggiat seni yang lain. Mereka mempunyai matlamat dan halatuju yang ingin mereka capai.Disamping mendapat perhatian dari dunia senilukis seseorang pelukis juga memerlukan sokongan dari semuapihak samaada dari orang yang terdekat dengan mereka,rakan taulan,sahabat handai dan juga peminat senilukis. Seseorang pelukis akan berasa berbesar hati sekiranya penglibatan mereka serta usaha yang dijalankan mendapat pengiktirafan dari sesuatu pihak apalagi jika ianya datang dari pihak kerajaan sendiri. Disamping itu pengikhtirafan oleh dunia luar terhadap karya lukisan mereka juga ada kesannya. Ini adalah kerana karya lukisan mereka mampu bersaing diperingkat antarabangsa dan sudah tentulah ada kriteria yang telah menepati piawaian yang diperlukan.

Sesungguhnya apa lagi yang amat diperlukan oleh seseorang pelukis jika hasil karya mereka mendapat sambutan,perhatian dan pengikhtirafan. Ini adalah pencapaian yang sangat-sangat diinginkan oleh hampir kesemua pelukis yang ada. Sesuatu yang amat dibanggakan bagi mereka yang bergelar pelukis samaada yang professional maupun amatur. Pelukis penjana minda. Pencatat peristiwa dan kisah secara nampak dan jelas.